Mehmet Durakovic Jurulatih Baru Selangor
TUGAS berat bakal menanti jurulatih baharu Selangor, Mehmet Durakovic (gambar) dalam usaha mengembalikan reputasi pasukan itu sebagai salah pasukan paling digeruni dalam Liga Malaysia (Liga M).
Biarpun menyedari perjalanan sebagai pengendali skuad Gergasi Merah tidak semudah yang disangka, Mehmet kekal tenang dan menaruh keyakinan bahawa pasukannya berupaya menampilkan prestasi lebih cemerlang pada musim depan.
Azam Mehmet kepada penyokong-penyokong fanatik Selangor adalah beliau menjanjikan agar skuad kendaliannya bakal menyajikan persembahan lebih menghiburkan selain mahu bersaing dengan pasukan-pasukan gergasi dalam Liga M.
"Sejujurnya, kami akan mencuba sedaya upaya untuk mempamerkan aksi yang lebih baik. Kami telah berjaya mendapatkan beberapa pemain muda dalam skuad ini.
"Saya akan memulakan latihan sesi latihan pada Isnin ini. Apa yang pasti, kami mahu menampilkan persembahan lebih menghiburkan pada musim depan.
"Selain itu, saya turut berharap Selangor dapat menamatkan saingan Liga Super musim depan dalam kedudukan terbaik," katanya selepas sidang akhbar di Hotel One World, Bandar Utama semalam.
Mehmet yang menggantikan Irfan Bakti Abu Salim selepas bekas jurulatih itu bertindak melepaskan jawatan dalam saingan Piala Malaysia 2013, nyata tidak asing buat peminat-peminat Selangor.
Ini kerana pemain kelahiran Australia ini pernah menyarungkan jersi skuad Gergasi Merah sejak 1995 sehingga 1998.
Antara kejayaan manis ketika pengendali berusia 48 tahun itu bersama Selangor adalah beliau berjaya membantu pasukan itu menjulang tiga kali Piala Malaysia pada tahun 1995, 1996 dan 1997.
Tambah Mehmet: "Saya sangat gembira kerana dapat kembali bersama Selangor selepas meninggalkan Malaysia kira-kira 15 tahun lalu. Selangor diibaratkan seperti rumah kedua saya. -kosmo-
Post a Comment