0
HADFIELD menyanyi lagu Space Oddity di dalam Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa kelmarin.

MOSCOW - Seorang angkasawan Kanada, Chris Hadfield kelmarin membuat rakaman muzik video di dalam Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) sebelum dia berlepas pulang ke Bumi.

Dia menyanyikan lagu klasik Space Oddity yang pernah dipopularkan oleh penyanyi terkenal, David Bowie.

Muzik video tersebut telah menjadi popular di laman YouTube apabila ia mencatatkan lebih 200,000 tontonan beberapa jam selepas dimuat naik.

Dalam rakaman itu, Hadfield menyanyi dengan badannya terapung di dalam ISS.

Dia juga bermain gitar semasa rakaman itu dibuat.

Muzik video itu merupakan kemuncak kepada misi Hadfield selama enam bulan di ISS.

Angkasawan tersebut juga kini mempunyai lebih 800,000 pengikut di laman Twitter.

Akaunnya di laman tersebut mempunyai beberapa keping gambar dan rakaman video yang menunjukkan kehidupan hariannya di ISS.

Hadfield dijangka kembali ke Bumi dengan menaiki kapsul Soyuz-TMA buatan Rusia yang mendarat di Kazakhstan pada hari ini.

Dia kembali bersama seorang angkasawan Rusia, Roman Romanenko dan Tom Marshburn dari Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan milik Amerika Syarikat.

Hadfield merupakan komander sepanjang dia bertugas di ISS.

Dia juga memantau pergerakan Marshburn dan seorang lagi angkasawan, Chris Cassidy yang berjalan di luar badan ISS untuk membaiki kebocoran gas ammonia pada Sabtu lalu. Ammonia digunakan untuk menyejukkan sistem tenaga ISS. - Agensi

Post a Comment

 
Top