0

MOHAMED YUSOF berpendapat bahawa Foks mampu menarik golongan muda untuk meminati karya seni berunsurkan Islam.

PERKEMBANGAN gaya penulisan khat kufi di Malaysia dianggap kian berkembang dan digunakan secara meluas sama ada untuk hiasan atau pun untuk tujuan dakwah.

Lihat sahaja logo rasmi yang digunakan Muzium Kesenian Islam Malaysia. Logo muzium dibina dalam bentuk karya kufi murabba dan ini jelas menunjukkan signatur pada muzium tersebut.

Apa yang penting dalam seni khat ialah, kebolehbacaan sesuatu tulisan dan mesej yang ingin disampaikan menerusi setiap karya khat.

Yang Di Pertua Persatuan Seni Khat Kebangsaan (PSKK), Mohammed Yusof Abu Bakar, 82 memberitahu, penghasilan karya khat kufi seharusnya mengikut perkembangan teknologi.

"Khat kufi lahir di negara Iraq dan ia dihasilkan dalam bentuk batu-bata. Ia disusun dan digunakan sebagai hiasan dalam masjid serta rumah. Jika dilihat, hasil karya khat kufi ketika itu sama dengan karya yang menggunakan komputer seperti yang dihasilkan oleh komuniti Foks.

"Apa yang saya dapat lihat, kandungan yang ada pada seni khat kufi masa kini tidak sedikit pun mengubah cara tradisional khat itu. Cuma kaedah penghasilannya sahaja yang berbeza. Tambahan lagi, ia dapat disiapkan pada masa yang singkat," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Walaupun seni khat tersebut boleh dihasilkan melalui komputer, Mohammed Yusof menegaskan bahawa setiap umat Islam perlu tahu untuk menulis tulisan Jawi dengan tangan kerana ia merupakan tunjang dalam penghasilan penulisan khat yang menarik.

"Selain daripada ayat-ayat al-Quran yang dihasilkan menggunakan karya khat kufi, saya cadangkan agar golongan muda mengaplikasikan karya tersebut dengan menggunakan kata-kata hikmah atau perumpamaan yang akan menarik perhatian orang ramai," ujarnya yang telah menzahirkan karya khatnya pada wang kertas baharu keluaran Bank Negara Malaysia. -kosmo-

Post a Comment

 
Top