0

KUALA LUMPUR – Selepas menjayakan konsert Malam Gala Amal Pamoga-Gaza malam semalam, penyanyi wanita bersuara lantang, Shila Amzah telah bergegas ke lapangan terbang untuk terbang ke Shanghai, China.

Pemergiaan anak gadis penyanyi lelaki, ND Lala itu ke Shanghai adalah untuk menghadiri konsert yang harus dijalankan olehnya pada malam sambutan tahun baru.

Selepas itu, Shila terpaksa bergegas pulang ke Malaysia pula untuk menyertai pertandingan Anugerah Juara Lagu (AJL) 2012 pada 6 Januari 2013.

Justeru, atas kesuntukan masa yang dialaminya menyebabkan Shila terpaksa berlatih menyanyi untuk AJL di Shanghai sahaja.

“Sekarang saya akan berlepas ke Shanghai untuk konsert pada malam tahun baru dan selepas pulang saya dari Shanghai saya akan terus ke Anugerah Juara Lagu (AJL) 2012.

“Kiranya persembahan untuk AJL saya akan berlatih ketika berada di Shanghai,” kata Shila yang dipetik dari portal Murai.com.

Walaupun tidak berkesempatan memberikan sepenuh perhatian dalam sesi latihan di negara sendiri, Shila masih lagi berfikiran positif dalam menghadapi pertandingan yang berprestij itu.

Kata Shila, dia akan mencuba sebaik mungkin untuk memberikan persembahan yang terbaik dalam pertandingan AJL nanti.

“Persiapan bagi AJL pula, InsyaAllah saya akan lakukan dengan baik walaupun dalam masa yang suntuk ini. Selepas AJL pula saya akan balik ke Shanghai untuk jangkamasa lebih kurang sebulan,” katanya.

Melihatkan kejayaan Shila yang semakin melakar keindahan dalam perjalanan kerjaya nyanyiannya, peluang Shila untuk menjadi artis antarabangsa semakin dapat dikecapi.

China adalah negara pertama sasaran buat Shila untuk mencipta nama di peringkat luar negara sebelum pergi ke negara-negara lain.

Oleh itu, Shila akan menetap hampir sebulan di Shanghai bagi meneruskan kariernya di sana dan akan berlepas ke negara sejuk itu selepas AJL.

Oleh: NAIMAH SHAARI

Post a Comment

 
Top