0




ANALISIS yang dijalankan oleh Ericsson ConsumerLab di Asia Tenggara dan Oceania menunjukkan pengguna telefon pintar dalam kalangan pengguna internet di Malaysia dijangka meningkat secara mendadak daripada 47 kepada 73 peratus pada tahun 2013.

Ericsson ConsumerLab menjalankan kaji selidik secara dalam talian melibatkan 500 pengguna Malaysia berumur antara 16 hingga 60 tahun.

Menurut ketuanya, Afrizal Abdul Rahim, telefon mudah alih masih lagi popular dalam kalangan pengguna tetapi telefon pintar dijangka menguasai pasaran negara dalam masa terdekat.

“Perkembangan telefon pintar di Malaysia diramal mencapai tahap matang kerana peranti itu menawarkan kepelbagaian penggunaan yang dapat memenuhi semua keperluan komunikasi pengguna,” katanya.

Faktor pendorong kepada penggunaan telefon pintar pada masa hadapan ialah penggunaan internet yang meliputi 39 peratus, peningkatan peranti (34 peratus) dan penggunaan aplikasi (29 peratus).

Selain telefon pintar, tablet turut mula mengorak langkah dengan pengenalan variasi terbaharu yang mampu milik. Penembusan tablet di Malaysia dijangka meningkat tiga kali ganda daripada 14 ke 48 peratus.

Aplikasi komunikasi

Penggunaan aplikasi yang memacu pertumbuhan data mudah alih dan paling popular digunakan rakyat Malaysia berkaitan komunikasi, permainan serta televisyen atau video.

Rata-rata pengguna telefon pintar pasti mempunyai sekurang-kurangnya dua jenis aplikasi komunikasi seperti BlackBerry Messengger (BBM), WhatsApp, Viber ataupun Skype.

Pengguna telefon pintar, Nahzatul Shima Abu Bakar, 27, mempunyai lebih 25 aplikasi dan tiga daripadanya adalah untuk komunikasi iaitu Viber, WhatsApp dan LINE.

Selain untuk komunikasi, Nahzatul Shima menggunakan sepenuhnya kebolehan telefon pintar untuk perbankan, e-mel, menonton YouTube dan menempah tiket wayang.

LINE merupakan aplikasi pesanan mesej telefon mudah alih yang membolehkan penggunanya menikmati panggilan dan mesej percuma sama ada tempatan atau antarabangsa. Lebih penting, LINE lebih stabil terutamanya ketika membuat panggilan.

Pengurus Besar Line Business Office, Cho Simeon ketika ditemui di Kuala Lumpur pada akhir Oktober lalu, sempat membuktikannya dengan membuat panggilan telefon kepada isterinya di Korea Selatan.

“Saya menggunakan kad sim tempatan untuk membuat panggilan dan suaranya jelas diterima di sini,” katanya sambil menambah, LINE juga boleh didaftarkan dengan alamat e-mel.


MELALUI LINE, Khong Ming mahu mengukuhkan pangkalan data pengguna di Malaysia.



LINE dilancarkan pada 23 Jun 2011 oleh enjin carian dari Korea Selatan , NHN Corp. yang mempunyai 70 juta pengguna dari 231 buah negara seluruh dunia.

LINE yang comel

Mengulas lanjut mengenai aplikasi komunikasi di telefon pintar Nahzatul Shima berpendapat, setiap satu mempunyai kelebihan masing-masing.

“WhatsApp lebih mudah digunakan terutamanya apabila mahu berbual dengan penggunaan banyak perkataan.

“LINE pula lebih banyak grafik dan kelihatan comel sesuai apabila chatting,” ungkap wanita yang bekerja sebagai jurulatih peribadi di Mont Kiara, Kuala Lumpur itu.

Dia yang berasal dari Johor tetapi menetap di Klang, Selangor itu turut memberi senarai kedudukan bagi aplikasi yang digunakannya iaitu bermula dengan WhatsApp kerana sistem operasi yang mudah.

Diikuti dengan LINE kerana grafik yang pelbagai jenis dan terakhir ialah Viber. Bagaimanapun, sistem pesanan pendek (SMS) masih lagi diperlukan untuk menghubungi individu yang tidak menggunakan telefon pintar atau penerima tiada liputan internet.

“Orang ramai pasti membandingkan LINE dengan aplikasi komunikasi lain dan menyifatkan ia sebagai pesaing kami, tetapi LINE menawarkan lebih daripada itu.

“Aplikasi LINE merupakan sebuah ekosistem komunikasi yang menawarkan pelbagai ciri lain seperti Line Camera, elemen laman sosial dan Line Coin,” terang Simeon.

Tambahnya, LINE mempunyai pelekat (sticker) pada ruangan berborak (chat) seperti yang dimaksudkan oleh Nahzatul Shima. Ia berfungsi sama seperti emotikon yang terdapat pada aplikasi komunikasi lain dan SMS.

“Chatting menggunakan sticker adalah yang paling menarik pada LINE berbanding penggunaan perkataan sahaja,” terang Simeon ringkas.

Emotikon selalunya sangat ringkas sehinggakan kadangkala maksud sebenar sukar disampaikan dan mungkin disalah tafsir.

Pelekat pula lebih jelas dan realistik dengan menonjolkan aksi karakter sama ada perbuatan atau perasaan yang dapat meningkatkan lagi penyampaian mesej.

Malah, ketika berbual dalam ruangan chat LINE, pengguna sudah cukup menghantar pelekat sahaja tanpa perlu menaip perkataan.

Menariknya, pelekat digambarkan dengan karakter iaitu Cony, Brown, Moon dan James dengan aksi serta perasaan berjumlah lebih 1,400 keping. Sebanyak 344 keping daripada jumlah tersebut percuma.

Kini, dengan menggunakan LINE, perasaan suka, marah, gembira mahupun sayu dapat diluahkan dengan lebih berekspresi dan nyata.

“Kami juga memberikan identiti tempatan sesebuah negara pada LINE seperti memperkenalkan pelekat menggunakan karakter selebriti tempatan,” kata Penolong Pengurus Pejabat Perniagaan LINE, Leong Khong Ming.

Penyanyi Gangnam Style dengan tarian ikonik, menunggang kuda, Psy turut menjadi karakter yang pelekat selain selebriti K-pop lain, 2NE1.

LINE turut mengadakan kerjasama dengan syarikat telekomunikasi tempatan seperti Advanced Info Service (AIS) di Thailand, Telkomsel (Indonesia) dan Vibo Telecom Inc. (Taiwan).

JUMLAH pengguna telefon pintar dijangka akan terus meningkat pada tahun 2013 di Malaysia.




Kata Khong Ming, pihaknya sedang dalam perbincangan dengan beberapa selebriti tempatan yang terkenal untuk bekerjasama.

Elemen media rangkaian sosial juga terdapat pada LINE pada bahagian Home dan Timeline sama seperti laman sosial lain. Pengguna dapat mengemaskini status, gambar, lokasi serta video untuk dikongsi bersama-sama senarai rakan-rakan.

LINE boleh digunakan pada semua versi peranti pintar seperti Apple (iOS), Android, Windows dan BlackBerry. Aplikasi komunikasi itu juga mempunyai versi komputer peribadi yang dilancarkan pada awal Mac 2012 lalu.

Selain itu, LINE juga mempunyai permainan, LINE Birzzle dan LINE Card yang membolehkan kad ucapan dihantar.

Ciri unik LINE yang lain ialah akaun rasmi yang membolehkan pengguna berinteraksi dengan selebriti, jenama, penyanyi dan apa-apa sahaja pada waktu On Air Mode. Pada waktu itu, pemilik akaun rasmi boleh membaca dan membalas pesanan daripada pengguna.

“Sebagai contoh, Thai Airline di Thailand mempunyai akaun rasmi LINE dan pihaknya menggunakan aplikasi tersebut untuk berinteraksi secara terus kepada pengguna,” cerita Simeon lagi.

Tambah Khong Ming: “Sambutan amat menggalakkan di Malaysia dan buat masa sekarang kami menyasarkan untuk mengukuhkan pangkalan data pengguna di sini.” -kosmo-

Post a Comment

 
Top