0


Pelakon veteran Ruminah Sidek menjelaskan cintanya terhadap Al Fatah Rahim, 70, tersemai ketika mereka sama-sama mengerjakan umrah di Mekah pada Mac lalu.

Ruminah atau lebih dikenali sebagai Mak Mah, 68, berkata, ketika mengerjakan ibadah itu, jiwanya tiba-tiba berasa sunyi sehingga timbul keinginan untuk mempunyai pasangan hidup.

Manakala Al Fatah pula mengambil kesempatan mengerjakan umrah dengan niat ingin berdoa bagi mendapatkan isteri.|

"Selama ini, setiap kali mengerjakan umrah, peraaan saya hanya biasa sahaja tetapi untuk kali ini, saya berasa sangat sunyi. Terasa mahu berteman pula.

"Saya berdoa kepada Allah agar memperkenankan doa saya kerana saya sudah rasa penat hidup sendirian.

"Hendak dijadikan cerita, sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur, saya berkenalan dengan Fatah dan dia berkongsi cerita iaitu hajatnya berdoa agar dipertemukan jodoh.

"Mendengar cerita itu, kami pun berbincang hasrat mendirikan rumah tangga,” kata Ruminah kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada malam Selasa.

Ketika bercerita kepada mStar Online, Ruminah tidak dapat menahan sebak dan beberapa kali kedengaran menangis kerana terlalu gembira dengan kehidupan baru yang bakal dibinanya itu.

 
Ruminah bersama bakal suaminya Al Fatah.
 
Ruminah dan Al Fatah telah mengikat tali pertunangan pada 19 April lalu di rumah abang ipar Ruminah di Meru, Klang dekat sini.

Pada majlis pertunangan itu Ruminah menerima lima dulang hantaran berserta sebentuk cincin manakala pihak lelaki turut menerima hantaran bilangan yang sama.

Pasangan itu bakal bernikah pada 17 Mei depan di lokasi pertunangan mereka. Dijangka 4,000 tetamu akan dijemput.

Al Fatah yang merupakan peneroka Felda Jelai, Gemas, Negeri Sembilan adalah sorang duda beranak sepuluh.

Beritahu Ruminah, dia tidak sangka akan mendirikan rumah tangga pada usia 68 tahun dan menyifatkan perkara itu sebagai hadiah yang diberikan oleh Allah.

"Saya bersyukur dan tidak sangka sebenarnya dapat menghabiskan baki hidup saya dengan seorang suami. Alhamdulillah.

"Dia (Fatah) juga berjanji akan membawa saya berjalan-jalan di Felda selepas kami berkahwin nanti," ujarnya.

Ruminah sebelum ini pernah berkahwin sebanyak tiga kali termasuklah dengan Allahyarham AR Tompel.

Hasil tiga perkahwinannya itu, Ruminah dikurniakan enam orang anak termasuklah pelakon Adlin Aman Ramlie. Dia juga mempunyai 20 cucu dan enam cicit.-mstar-

Post a Comment

 
Top