Ratusan mayat Taufan Haiyan masih belum ditanam
Penduduk dan agensi keselamatan meneruskan usaha mencari serta mengumpul mayat di San Isidro.
TACLOBAN - FILIPINA . Ribuan mayat mangsa taufan ganas Haiyan dilaporkan masih belum ditanam sejak malapetaka itu berlaku tujuh minggu lalu di pinggir Filipina.
Penduduk tempatan Maitess Pedrosa berkata, keadaan itu menyebabkan kawasan kediaman mereka di San Isidro berbau busuk dan tumpuan anjing liar.
“Lebih 1,400 mayat disimpan di dalam plastik tersadai di padang berlumpur berhampiran rumah kami. Bau busuk itu makin memualkan hingga terpaksa memakai topeng muka walaupun ketika tidur,” katanya.
Menurut ketua kampung Eutiquio Balunan, pihak berkuasa tempatan dan penduduk kampung masih giat mengumpulkan mayat sejak 10 November lalu.
“Lambakan mayat disebabkan kelewatan proses pengecaman, pegawai forensik bercuti sempena Krismas dan mayat tidak dituntut,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya mendesak pihak berkuasa menyegerakan proses pengurusan mayat susulan kebimbangan penyebaran wabak penyakit,” katanya, menurut sumber AP.
Taufan yang berlaku 8 November lalu meragut lebih 10,000 nyawa dan 2,000 dilaporkan masih hilang. -sinarharian-
Post a Comment