Boikot logo baru KFA (Persatuan Bolasepak Kedah)
KEMELUT berhubung isu logo baharu Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) nampaknya masih belum berakhir
Ia berikutan tindakan Gabungan Kelab Penyokong Bola Sepak Kedah yang bertindak memboikot dan tidak mengiktiraf logo baharu menggunakan lambang burung helang itu.
Wakil kumpulan itu meranggkap Timbalan Presiden Kenari Fans Squad, Mohammad Adhan Mat Aji berkata, pihaknya akan meneruskan kempen besar-besaran bagi membantah penggunaan logo baharu itu yang dilihat cuba menghapuskan identiti Kenari yang sinonim dengan skuad Kedah sebelum ini.
“Kami akan meneruskan bantahan dalam setiap perlawanan yang melibatkan pasukan Kedah. Kami akan gantung sepanduk, kain pemidang dan sebagainya bagi penunjukkan rasa tidak puas hati kami terhadap pihak pengurusan.
“Tidak cukup dengan itu, kami juga tidak teragak-agak untuk memulakan kempen boikot terhadap semua produk yang tertera logo baharu itu,” katanya pada sidang akhbar di Alor Setar semalam.
Turut hadir ialah wakil-wakil dari kelab penyokong Hijaukuning.com, Penyokong Setia Hijau Kuning dan Peminat Bola Sepak Kedah.
Tambah Adhan, pihaknya juga telah menganjurkan petisyen secara dalam talian dan melalui media sosial dan berjaya mendapat tandatangan lebih 5,000 penyokong yang membantah penggunaan logo baharu itu yang mana akan diserahkan kepada pihak KFA tidak lama lagi.
“Hasil tinjauan melibatkan kira-kira 300,000 penyokong setia yang bernaung di bawah gabungan ini juga mendapati lebih 73 peratus daripadanya menolak penggunaan logo baharu itu musim ini.
“Inilah realitinya dan kami harap KFA peka dengan isu ini. Sebelum ini, kami dah hantar dua memorandum bantahan berhubung isu yang sama, namun sehingga kini tiada maklum balas yang diberikan.
“Kami tidak kisah sekiranya helang itu digunakan sebagai maskot tetapi bukan logo. Lagi pun, penggunaan logo baharu ini bukan sahaja menghilangkan identiti pasukan, malah secara tidak langsung melenyapkan sejarah yang telah dicapai sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Presiden KFA, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, proses transformasi itu bukan hanya melibatkan pertukaran logo persatuan tetapi juga soal pengurusan, latihan dan pemilihan pemain.
Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah berkata, walaupun ada pihak yang tidak gembira dengan logo baharu itu, namun ada ramai yang berasa sudah tiba masanya untuk persatuan menampilkan imej yang gah.
“Orang lain dah ada imej singa, pahlawan dan sebagainya. Sekurang-kurangnya kita tonjolkan simbol yang menunjukkan kegagahan kita dalam menghadapi lawan di gelanggang. Jadi, sebab itu Helang Merah dipilih,” katanya. -kosmo-
Post a Comment