|
JAGUH No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei dan beregu lelaki, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong mengetuai cabaran negara pada Kejohanan Badminton Dunia 2013 yang akan membuka tirai hari ini.
Ketiga-tiga pemain itu sudah pasti memiliki misi tersendiri untuk menjulang trofi kejuaraan buat kali pertama pada kejohanan edisi ke-20 di Guangzhou, China.
Begitupun, apa yang menjadi persoalan ketika ini adakah mereka mampu menyerap setiap tekanan, baik di dalam mahupun di luar gelanggang.
Ini kerana mereka bukan sahaja perlu berdepan dengan barisan pemain China yang dijangka ‘bermaharajalela’ di laman sendiri, malah Chong Wei, 30, Kien Keat, 27, dan Boon Heong, 25, perlu mengatasi sorakan padu daripada penyokong tempatan.
Bagaimanapun, melihat kepada undian, jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock mengakui peluang Chong Wei, pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2012 untuk memburu gelaran dunia kali pertama masih terbuka.
“Atas kertas, peluangnya kali ini nampak lebih baik. Peluang untuk menang ada tetapi ia juga bergantung kepada prestasi Chong Wei pada hari perlawanan.
“Bagi saya, pusingan pertama amat penting bagi semua pemain terbaik dunia kerana ia permulaan untuk mencari rentak permainan,” kata Seu Bock.
Chong Wei akan menghadapi Scott Evans dari Ireland pada aksi pertama kejohanan hari ini.
Dia yang diramal mudah melepasi ujian pertama itu dijangka berdepan pemain Indonesia, Dionysius Hayom Rumbaka atau Misha Zilberman (Israel) pada pusingan kedua.
Chong Wei juga diundi dalam kelompok dua pemain China, Wang Zhengming dan Du Pengyu dalam laluannya untuk mara ke separuh akhir.
“Pemain-pemain China mempunyai kelebihan kerana kejohanan dunia berlangsung di sana. Kita memang tidak tahu keadaan mereka dan mereka juga melakukan persiapan yang baik.
“Begitupun, kami juga akan menganalisis setiap pencabar sebelum perlawanan berlangsung. Kalau boleh kami mahu Chong Wei elak daripada perlawanan rubber set kerana dia sudah 30 tahun dan tahap fizikalnya sudah tidak seperti dulu.
“Beraksi dengan pemain-pemain muda... mereka juga mampu melakukan kejutan jadi saya harap Chong Wei tidak akan melakukan kesilapan dan perlu sentiasa berwaspada,” tambah Seu Bock.
Dua lagi pemain perseorangan negara yang akan beraksi pada hari ini ialah Chong Wei Feng dan Liew Daren.
Wei Feng akan bertemu Rajiv Ouseph dari England manakala Daren menentang Vladimir Malkov (Rusia).
Dalam pada itu, Kien Keat-Boon Heong juga dilihat memiliki undian yang baik untuk melangkah ke final untuk kali kedua dalam karier mereka selepas edisi 2010 di Paris, Perancis.
Begitupun, pasangan No. 2 dunia itu tidak boleh memandang rendah terhadap kemampuan beregu-beregu yang mempunyai azam yang sama untuk memburu gelaran dunia tahun ini.
Selain memburu kejuaraan pertama, Kien Keat-Boon Heong yang mendapat bye pada pusingan pertama juga memiliki misi kedua - untuk meraih kembali kepercayaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Bekas beregu No. 1 dunia itu harus sekurang-kurangnya melangkah ke pentas final pada kejohanan kali ini atau mereka bakal berdepan dengan tindakan dipisahkan oleh BAM.
Bagaimanapun, peminat sukan tanah air juga mengharapkan keputusan yang positif bakal dijelmakan oleh dua lagi beregu negara, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong dan Goh V Shem-Lim Khim Wah walaupun mereka dijangka berentap sesama sendiri pada pusingan kedua.
Thien How-Wee Kiong mendapat bye pada pusingan pertama, namun V Shem-Khim Wah harus menewaskan pasangan Scotland, Martin Campbell-Patrick Machugh sebelum berpeluang mara ke pusingan kedua.
Malaysia turut menyandarkan harapan kepada gandingan, Mohd. Zakry Abdul Latif-Mohd. Fairuzizuan Mohd. Tazari pada acara berprestij itu.
Bagi kategori wanita, Malaysia tidak boleh terlalu memandang jauh bersandarkan kepada prestasi dan rekod pemain-pemain yang ada ketika ini.
Dalam acara perseorangan, Malaysia menyandarkan harapan kepada wakil tunggal, Tee Jing Yi manakala bagi saingan beregu wanita, empat gandingan menjadi pertaruhan.
Bagi acara beregu campuran, harapan sudah pasti dletakkan kepada gandingan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang diharapkan mampu melakar kejutan di bumi Guangzhou. -kosmo-
Post a Comment