BUAH tangan Beyonce Knowles kali ini dinamakan 4. Mengikut perkiraan matematik mudah, ini album keempat penyanyi kelahiran Texas, Amerika Syarikat (AS) itu selepas Dangerously In Love, B’Day dan I Am... Sasha Fierce.
Album ini dilancarkan di AS pada Jun 2011 dan hanya pada minggu lalu, album ini sampai ke meja penulis untuk direviu. Rata-rata peminat Beyonce kecewa dengan album ini yang dianggap gagal menjadi halwa telinga mereka seperti album terdahulu.
Namun buat Beyonce, album ini mempunyai kelainan. Ujarnya, 4 bukanlah sebuah album RnB, juga bukan album yang berisi muzik pop biasa. Ia menyediakan genre-genre lagu yang digemarinya dan dimuatkan ke dalam album yang diterbitkan oleh 17 orang penerbit termasuk Beyonce sendiri.
Isteri Jay-Z ini memang terkenal dengan penyusunan kariernya namun album ini kelihatan seperti meninggalkan sebuah produksi yang bergaya.
Separuh daripada album ini berisi lagu balada dan dicampurkan dengan genre vintage soul, hard rock, reggae dan kontemporari.
Beyonce turut mengaku bahawa album ini terinspirasi ramai pemuzik termasuk Fela Kuti dari Nigeria. Muzik agrobeat yang menampilkan banyak bunyi dram dan alat muzik tiupan membuatkan Beyonce menyedut idea itu dan memasukkannya ke dalam album ini.
Selain Fela, Beyonce juga terinspirasi bersama The Stylistics, Lauryn Hill, Stevie Wonder, Michael Jackson, Earth, Wind & Fire, Lionel Richie, Prince, Adele dan Florence and the Machine untuk karyanya ini.
Tidak terkecuali untuk membuat perbandingan dengan album-album terdahulu yang mempunyai lagu yang kuat dan produksi yang hebat, album 4 jatuh dalam kategori biasa-biasa sahaja.
Malah ia merupakan rakaman album yang agak janggal didengar. Album megapop dengan bajet besar ini menampilkan Kanye West, Andre 3000, Tricky Stewart dan Diane Warren selaku penerbit. Nama-nama besar ini sepertinya terbawa idea Beyonce untuk menjadikan lagu-lagu dalam album ini tidak begitu ekstravaganza.
Komen Sofia: Rasa janggal mereviu album yang sudah dua tahun dalam pasaran.
Post a Comment